20 OGOS : Anggota Umno perlu berhati-hati dengan politik kebencian yang cuba disemai golongan tertentu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya politik kebencian amat berbahaya kerana ia mampu membawa kepada perpecahan dan keretakan perpaduan rakyat di negara ini, sekali gus menggugat keamanan negara.

“Golongan tertentu itu telah mengasak kita dengan meletakkan semua kesalahan terhadap pemimpin Melayu dalam kerajaan seolah-olah kita (pemimpin Melayu kerajaan) tidak pandai,” katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Kuala Langat, di sini hari ini.

Beliau berkata, politik kebencian itu sering diselitkan dalam ucapan pemimpin golongan tersebut, selain penyebaran artikel-artikel yang menyemai kebencian.

“Dihasutnya kumpulan muda masyarakat Cina, India dan Melayu yang akhirnya melihat setiap apa yang kita lakukan adalah salah,” katanya.

Sehubungan itu, Mahdzir berkata setiap anggota Umno tidak boleh sekali-kali memandang ringan penularan sentimen kebencian berkenaan.

Berikutan itu, katanya, anggota Umno harus terus bersatu mempertahankanparti dan meneruskan segala agenda transformasi yang dibangunkan untuk generasi masa depan.

“Kita mesti pupuk semula suasana solidariti semasa negara sedang mencapai kemerdekaan dulu, pada waktu itu semua bangsa bersatu dan perpaduan berada pada tahap paling istimewa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membangkitkan isu sensitiviti bangsa supaya kekukuhan perpaduan dapat terus dipertahankan. – Bernama