Ramadhan bulan yang mulia penuh dengan barakah, justeru dari itu warga Sungai Besar berharap kempen PRK disini dapat dijalankan dengan penuh kesederhanaan. Mereka juga bersetuju dengan titah perintah Baginda Sultan Selangor agar madjid dan surau dijauhi dari ceramah dan kempen politik.
Tinjauan di ‘kedai kopi’ dengan beberapa penduduk Sungai Besar rata-rata berharap kempen parti politik sempena PRK ini wajarlah diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan.
Rosli Sidek, 58, dari Kampung Sungai Limau berkata tanpa kempen ‘keterlaluan’ pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan.
“Apa yang kita harapkan calon-calon ini biarlah matang berkempen dengan tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat,” katanya.
Kempen cara berhemah ini juga disokong seorang juruteknik Kamsani Abu Samah, 36, yang berharap tidak menggunakan surau atau masjid sebagai medium berkempen.
“Tak perlu buat besar-besaran, sampai pasang banyak bendera di setiap penjuru jalan sampai kadang-kadang menghalang pemandangan,” katanya yang berharap calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus meletakkan permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang.