A huge collection of 3400+ free website templates JAR theme com WP themes and more at the biggest community-driven free web design site
Home / Berita Semasa / Rumah Selangorku Kerajaan Selangor kena telus

Rumah Selangorku Kerajaan Selangor kena telus

Johan Abdul Aziz 1

17 Sept : Kerajaan Selangor digesa beri penjelasan telus tentang polisi Rumah Selangorku jika benar ia untuk membantu rakyat Selangor memiliki rumah.

Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Johan Abdul Aziz berkata, program Rumah Selangorku yang kononnya menjadi kebanggaan kerajaan Selangor dilihat sebagai satu propaganda dalam memainkan sentimen membantu pemilikan rumah mampu milik rakyat.

Menurutnya, kerajaan Selangor langsung tidak memberi subsidi kepada rakyat ataupun pemaju untuk program Rumah Selangorku.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan melalui KPKT sebaliknya sudah lama memberikan subsidi yang banyak dalam membina program perumahan rakyat.

Katanya, sebanyak 80,252 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina sejak 1998, di mana bagi setiap unit rumah itu kerajaan persekutuan mengeluarkan subsidi lebih kurang 80 peratus daripada harga jualan kepada rakyat.

“Komitmen kerajaan persekutuan membina lebih banyak PPR adalah konsisten dan buat masa ini sahaja sebanyak 14,592 unit sedang dibina, manakala 8,092 unit lagi dirancang sehingga hujung tahun ini.

“Kos pembinaan rumah pangsapuri PPR berkeluasan 700 kaki persegi, tiga bilik tidur dan dua bilik air adalah antara RM160,000 hingga RM170,000 seunit termasuk harga tanah. Unit-unit ini kemudiannya, dijual kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan pada harga hanya RM35,000 di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Johan berkata, subsidi yang diberikan oleh kerajaan persekutuan melalui program PPR adalah melebihi RM100,000 untuk setiap unit.

Beliau berkata, itu bukan satu-satunya subsidi kerajaan persekutuan dalam membantu rakyat memiliki rumah tetapi terdapat juga subsidi dalam program MyHome dan juga MyDeposit berjumlah 10 peratus atau maksima RM30,000 untuk ditawarkan kepada pembeli rumah pertama(first home buyer) kepada rakyat yang berpendapatan antara RM3,000 sebulan hingga RM10,000 sebulan.

Katanya, kerajaan persekutuan melalui Dasar Perumahan Negara mencadangkan rumah mampu milik dibina bagi setiap projek perumahan dan langkah ini dijalankan oleh setiap kerajaan negeri mengikut kesesuaian dan keperluan mereka.

“Sebagai contoh, kerajaan Perlis dan Pahang mewajibkan sebanyak 30 peratus rumah mampu milik bagi projek perumahan melebihi tiga ekar dan lima ekar, manakala kerajaan Kedah mewajibkan pembinaan 40 unit pelbagai jenis rumah mampu milik bagi setiap 100 unit rumah.

“Oleh itu, dasar perumahan Kerajaan Selangor bukanlah sesuatu yang istimewa dan perlu ‘dicontohi’ seperti yang disarankan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad. Bahkan dasar ini dijalankan atas saranan melalui Jabatan Perumahan Negara,” katanya.

Johan berkata, kerajaan persekutuan juga mempersoalkan mengapa tiada lagi projek perumahan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat kerajaan Selangor seperti PKNS berbanding semasa pemerintahan negeri Selangor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, pembinaan oleh PKNS pada ketika itu mendapat subsidi dari kerajaan negeri BN dan membolehkan rumah dijual pada harga mampu milik.

“Mengapa skim subsidi perumahan ini tidak diteruskan oleh kerajaan Selangor? Kalau setakat hanya meletakkan syarat-syarat kepada pemaju-pemaju swasta untuk membinanya dan diri sendiri tidak membinanya, maka mana teladan baik yang boleh ditunjukkan?,” katanya.

“Kerajaan Selangor dakwa 20,000 unit rumah diluluskan untuk pembinaan, namun berapakah jumlah sebenar rumah dibina dan ditawarkan kepada pembeli?,” katanya.

– Sinarharianonline

About RJ

Check Also

KPKT Bantu Baik Pulih Flat Yang ‘Dilupakan’ Kerajaan Selangor

Baru sahaja pulang ke tanahair selepas mengerjakan haji semalam, Tan Sri Noh Omar hari ini …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *