MASIH banyak tandas awam di negara ini tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, kebanyakan tandas-tandas awam ini terletak di kawasan rekreasi, hentian awam, kawasan pelancongan, sekolah dan lain-lain tempat.

“Kita perlu ingat, setiap yang kita lakukan pada hari ini akan memberi impak kepada bandar serta tempat tinggal kita pada masa akan datang.

“Kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang, sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita, “ katanya.

Menurut Noh, kebersihan bukan sahaja terhad kepada persekitaran, bahkan turut melibatkan kebersihan kemudahan awam seperti tandas.

Katanya, Pertubuhan Tandas Sedunia (WTO) mengisytiharkan 19 November setiap tahun sebagai Hari Tandas Sedunia.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran global mengenai masalah yang dihadapi hampir 2.5 bilion penduduk yang hidup tanpa kemudahan sanitasi asas yang sempurna.

“Pada 2013, inisiatif bersama kerajaan Singapura dan WTO membawa resolusi PBB Singapura yang pertama bertajuk ‘Sanitation For All’, menggesa tindakan bersama untuk menangani krisis sanitasi global melalui Hari Tandas Sedunia,” ujarnya.

Katanya, resolusi itu ditaja dan diterima pakai 122 negara termasuk Malaysia pada sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB di New York.

Usaha kerajaan Malaysia dalam memberi penekanan kepada kebersihan tandas di negara ini, bermula dengan pelancaran kempen tandas bersih yang dianjurkan julung kali pada 1994.

“Bagi menjamin kebersihan tandas awam, KPKT telah melaksanakan pengauditan tandas menggunakan Star Rating untuk menentukan taraf kebersihan tandas awam,” katanya.

“Kerana itu saya seru, kesemua pihak termasuk syarikat-syarikat swasta agar memastikan tandas awam sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga demi kesejahteraan bersama,” katanya.