28 Ogos – Kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta dalam usaha memastikan lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dapat dibina dalam masa singkat
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu akan dibuat menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) supaya kos pembinaan kediaman untuk rakyat tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
“Kita nak cari jalan bagaimana kita dapat menyediakan PPR dengan cepat dan lebih banyak dengan kerjasama pihak swasta.
“Kalau kita boleh laksanakan menerusi PFI, maka pelaksanaan PPR ini tidak akan hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi dasar-dasarnya sama,” katanya menerusi laman Facebook beliau, semalam.
Dalam pada itu, Noh berkata, beliau bertekad untuk terus meninjau pelaksanaan rumah PPR di seluruh negara dari semasa ke semasa supaya ia dapat disiapkan dalam masa ditetapkan.
Katanya, beliau sendiri akan turun padang bagi memastikan kerja-kerja pembinaannya berjalan lancar demi manfaat rakyat.
“Dalam masa dua hari saya berkesempatan melawat tiga projek perumahan PPR yang dibina untuk memberi keselesaan kepada rakyat iaitu dua di Sabah dan satu di Melaka. Insya-Allah saya akan teruskan turun padang meninjau pelaksanaan rumah PPR supaya siap dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa PPR di ibu negara akan dilaksanakan secara sistem ‘sewa dan beli’ tanpa bayaran deposit.
Langkah itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menangani isu kemiskinan bandar membabitkan masalah penempatan bagi meringankan beban rakyat. – UTUSAN ONLINE