A huge collection of 3400+ free website templates JAR theme com WP themes and more at the biggest community-driven free web design site
Home / Berita Semasa / KPKT Tambahbaik Pembinaan Rumah PPR – TS Noh Omar

KPKT Tambahbaik Pembinaan Rumah PPR – TS Noh Omar

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak lagi akan membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang boleh membebankan penghuninya seperti rumah pangsa lima tingkat tanpa kemudahan lif.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, KPKT telah memberi fokus kepada pembinaan rumah berbilang tingkat dengan dilengkapi kemudahan lif dan rumah jenis atas tanah.

“Saya pernah melakukan lawatan ke kawasan PPR jenis pangsa lima tingkat baru-baru ini. Saya melihat sendiri kesukaran penduduk terutamanya di tingkat atas yang terpaksa turun naik menggunakan tangga tanpa kemudahan lif,” katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad yang meminta perjelasan mengenai penambahbaikan di rumah PPR yang telah dilakukan oleh KPKT pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Menurut Noh, untuk mengelak kesesakan dan kepadatan penghuni di rumah PPR, kementeriannya akan membina tidak lebih 500 unit rumah PPR bagi setiap projek berbanding projek terdahulu yang tidak menetapkan sebarang had unit untuk dilaksanakan.

“Walaupun begitu, jumlah unit yang dibina juga bergantung kepada keseluruhan keluasan tapak.

“Dari aspek rekabentuk, terdapat penambahan keluasan lantai daripada 650 kaki persegi kepada 700 kaki persegi bagi unit biasa.

“Elemen kemasan lantai telah ditukar dari jenis lepaan simen (cement render) kepada kemasan jubin bagi keseluruhan lantai rumah,” jelasnya lagi.

Bagi menjamin kesejahteraan dan pembangunan sosial penduduk, Noh menjelaskan, KPKT tetap mengambil berat dengan menyediakan kemudahan awam seperti dewan, surau, tadika, taska, taman permainan serta kedai dan gerai yang dibina di dalam kawasan PPR.

“Sebagai contoh peruntukan tempat letak kereta bagi rumah berbilang tingkat dengan nisbah 1 unit rumah kepada 1 unit tempat letak kereta serta 20% tempat letak kereta pelawat berbanding PPR terdahulu yang hanya memperuntukkan 1 tempat letak kereta bagi kegunaan 4 unit rumah.

“Dalam memastikan keselamatan dan kesihatan penghuni lebih terjamin, sistem penggunaan lif diberi penambahbaikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KPKT mengamalkan ketelusan dengan membuat tapisan ketat sebelum memberi surat tawaran kepada mereka yang memohon rumah PPRT secara Rent To Own (RTO).

Katanya, setiap permohonan akan melalui tapisan pertama dan KPKT akan membuat semakan nama mereka melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sama ada sudah memiliki rumah atau tidak.

“Tapisan kedua ialah memastikan pendapatan pemohon di bawah RM3,000 sebulan.

“Kita akan menyemak dengan LHDN sama ada pemohon ada menerima BRIM, dan jika didapati mereka tidak menerimanya, permohonan mereka akan ditolak,” katanya.

Kemudian, Noh menjelaskan, selepas melalui 2 tapisan, nama permohon akan dipamerkan di tempat-tempat tertentu atau di laman web KPKT selama 2 minggu untuk orang ramai melihat dan membuat bantahan jika ada nama yang mencurigakan dan sememangnya tidak layak.

“Ini telah berlaku di Hulu Selangor, bila kita pamerkan nama dan akhirnya ada dua bantahan.

“Setelah kita semak, bantahan itu memang betul dan KPKT telah menolak permohonan tersebut,” jelas Noh yang menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang bertanya adakah KPKT mempunyai mekanisma dalam menentukan kelayakan mereka mendapat RTO.

About Keruing Hitam

Check Also

KPKT Bantu Baik Pulih Flat Yang ‘Dilupakan’ Kerajaan Selangor

Baru sahaja pulang ke tanahair selepas mengerjakan haji semalam, Tan Sri Noh Omar hari ini …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *