Setelah lebih 100 hari memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mendapati pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor adalah paling banyak mempunyai masalah.
Malah pengurusan PPR yang diserahkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan Negeri Selangor seperti PPR Lembah Subang 1, sangat menyedihkan sehingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa.
Namun apabila kerajaan berhasrat untuk mengambil alih semula pengurusan PPR tersebut dalam usaha membela nasib rakyat, kerajaan Negeri Selangor mahu dibayar RM50.2 juta sebagai syarat.
“Saya dah pergi Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Kedah dan Pahang. Dalam banyak-banyak negeri yang saya pergi, negeri Selangor paling banyak masalah.
“Pengurusan PPR Lembah Subang 1 misalnya, tanah kita (kerajaan) rumah kita buat, serah kepada kerajaan negeri, itu pun tak urus.
“Kalau kita serahkan kepada kerajaan negeri 14 tahun, kita kira sewa RM124 sebulan, darab dengan 3004 unit darab 12 kali untuk 14 tahun ditambah RM22 juta kerajaan bagi pada 2009, campur semua kutipan kerajaan RM84.7 juta. Yang pelik sudah dapat RM84 juta, nak KPKT bayar pula RM50 juta,” kata Noh.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian di Parlimen pada Isnin.
Menyentuh soal PPR di Taman Medah Cahaya pula, masalah lif yang sepatutnya diuruskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor, tidak diperdulikan.
“Memang menyedihkan. Urusan lif adalah urusan kerajaan negeri dan PBT, mereka yang kutip cukai, namun kerana kesian penduduk, saya (KPKT) telah luluskan RM1 juta untuk beri pembelaan.
“Kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan ‘bangau oh bangau’, apa mereka buat salah nak tunjuk kepada orang, tak reti urus (PPR) salahkan kita (kerajaan), air tak terurus, kata sabotaj.
“Hentikanlah kerajaan negeri ‘bangau oh bangau’ ni,” katanya.