Kerajaan akan terus berusaha memartabatkan wanita dalam semua bidang selain memberi peluang sama rata tanpa mengira jantina, bangsa dan agama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata antara inisiatif yang disediakan adalah bantuan dalam bidang perniagaan untuk golongan wanita serta mana-mana pihak yang ingin berjaya dalam bidang itu.
“Kerajaan mempunyai pelbagai inisiatif bagi membantu bukan sahaja wanita, malah semua golongan yang mempunyai idea dan inisiatif untuk berjaya dalam bidang perniagaan melalui skim mikro kredit, Tabung Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, SME Corp dan banyak lagi,” katanya.
Perdana menteri berkata beliau mengambil maklum mengenai adanya jurang bantuan dari segi sokongan terhadap wanita yang baru memulakan perniagaan, khususnya yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Insya-Allah, dari semasa ke semasa, kita akan lihat dan mencari cara bagaimana untuk merapatkan jurang tersebut,” kata beliau menerusi catatan terbaharu dalam blog beliau NajibRazak.com hari ini bertajuk “Wanita: Pemangkin Pembangunan Negara.”
Dalam catatan itu, Najib turut berkongsi topik perbualannya bersama beberapa personaliti terkenal dan berjaya dalam bidang masing-masing yang menyertai majlis makan malam bersama beliau di Restoran Modern Asian Diner di Setapak semalam.
Antara yang hadir adalah pakar bedah mata Prof Dr Muhaya Mohamad, pereka muda di butik iaitu Fuzana Mokhtaza, ahli gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim, pengasas organisasi bukan kerajaan Women:Girls dan Presiden Kakiseni Low Ngai Yuen serta exco pembangunan wanita dan pemuda Sikh Naujawan Sabha Malaysia iaitu Amreeta Kaur Dhillon.
“Topik utama perbualan kami menyentuh peranan wanita dalam agenda pembangunan negara, dari segi pembabitan dalam tenaga kerja sama ada sektor swasta mahupun awam, pendidikan, serta keseimbangan pekerjaan dan keluarga,” katanya.
Najib berkata mereka berkongsi beberapa cadangan bernas antaranya Fuzana yang membangkitkan mengenai peluang perniagaan untuk wanita, mencadangkan lebih banyak bantuan dan dana khusus disediakan untuk membantu wanita profesional dalam bidang perniagaan.
Menurutnya beliau turut memaklumkan mengenai perancangan kerajaan untuk terus memartabatkan wanita seperti yang ditanya Kamal Affendi dalam majlis makan malam itu.
“Kita sebenarnya telah mencapai banyak kemajuan dari segi penglibatan wanita dalam bidang pendidikan, penglibatan dalam sektor pekerjaan dan pelbagai lagi,” katanya.
Najib berkata Amreeta dan Farah Ann pula mencadangkan pemberian peluang sama rata kepada lelaki untuk membesarkan anak dan keluarga seperti golongan wanita misalnya mewujudkan cuti bersalin.
Katanya Ngai Yuen pula membangkitkan mengenai peranan wanita dalam agama dan sama ada akan wujud diskriminasi akibat daripada salah faham mengenainya.
“Prof Dr Muhaya berpendapat bahawa pendekatan kesederhanaan yang diambil kerajaan, sebagai contoh, adalah pendekatan yang baik.
“Saya bersependapat dengan Prof Dr Muhaya dan inilah konsep yang kerajaan sering tekankan, iaitu kesederhanaan atau lebih tepat lagi, Wasatiyyah,” kata Najib.
Perdana menteri berkata Malaysia adalah negara yang bertuah kerana mempunyai pelbagai bangsa dan agama di bawah satu bumbung.
“Tetapi pada masa sama, ini juga mendatangkan cabaran dan memerlukan penerimaan dan pemahaman yang mendalam daripada semua pihak. Insya-Allah, sekiranya kita semua mengamalkan kesederhanaan dan belajar untuk memahami satu sama lain, Malaysia akan terus kekal harmoni,” kata beliau.
— BERNAMA