A huge collection of 3400+ free website templates JAR theme com WP themes and more at the biggest community-driven free web design site
Home / Artikel Pilihan / Duta Britain Ke Saudi Sah Peluk Islam, Tunai Haji

Duta Britain Ke Saudi Sah Peluk Islam, Tunai Haji

Dalam kalangan 19,000 jemaah dari Britain yang berpeluang menunaikan ibadah fardu haji pada tahun ini ialah Duta Besar Britain di Arab Saudi sendiri, Simon Paul Collis bersama-sama isteri beliau, Huda Mujarkech.

Menurut laman berita tempatan Arab News, para diplomat asing dan wartawan di negara rantau Asia Barat tersebut memang sudah lama mengetahui bahawa beliau telah pun memeluk agama Islam, tetapi tiada kenyataan rasmi yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Pengesahan tersebut bagaimanapun hanya dibuat pada 13 September lalu dan itupun dalam bentuk catatan makluman secara ringkas menerusi laman sosial Twitter daripada seorang penulis Arab Saudi yang juga ahli akademik tempatan dikenali sebagai Fawziah Al-Bakr.

Beliau malah memuat naik dua gambar terbaharu Collis, yang sedang memakai ihram, bersama-sama isteri beliau dengan kicauan berbunyi: “Duta Britain ke Saudi menunaikan haji selepas menganut Islam. Beliau dan isteri bergambar di Makkah. Alhamdulillah.”

 Collis kemudian turut membalas kicauan Twitter tersebut yang telah diulang kicau lebih sejuta kali dan menerima tanda suka hampir sejuta netizen itu dengan mengucapkan terima kasih kepada Fawziah atas hebahan berkenaan menerusi laman Twitter milik beliau sendiri.

Duta Britain Ke Saudi Sah Peluk Islam, Tunai Haji

Meskipun demikian Collis enggan memenuhi permintaan pihak media bagi sesi wawancara pada 14 September dan berkata: “Saya sudah memeluk Islam setelah berada dalam kalangan masyarakat Islam selama 30 tahun malah sebelum saya bernikah dengan Huda.”

Collis berkhidmat sebagai Duta Besar Britain di Arab Saudi sejak Januari tahun lalu apabila Sir John Jenkins bersara daripada perkhidmatan diplomatik. Gambar tersebut menjadi ‘viral’ menerusi laman Twitter, Facebook, WhatsApp dan Instagram, menurut portal Arab News.

Orang pertama yang mengucapkan tahniah kepada duta berkenaan dan isteri beliau ialah Puteri Basmah Saud Abdulaziz yang juga anak ke-155 dan paling muda dalam kerabat diraja Saudi menulis: “Ucapan tahniah istimewa buat duta United Kingdom dan isteri beliau.”

“Terima kasih, Puteri Basmah,” balas Collis. Jemaah haji Britain turut gembira dengan pengesahan itu malah Ketua Pegawai Eksekutif  Majlis Haji Britain, Rashid Mogradia mengicau: “Saya ingin ucap tahniah kepada Collis kerana sudah selamat selesaikan ibadah haji.

“Beliau adalah salah seorang daripada ribuan jemaah haji Britain yang dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu dan kami menantikan masa beliau sudi berkongsi kisah pengalaman serta memberi inspirasi kepada kita semua,” tambah Rashid.

Duta Britain Ke Saudi Sah Peluk Islam, Tunai Haji
SIMON PAUL COLLIS (DUA DARI KIRI) KETIKA MENEMANI SETIAUSAHA HAL EHWAL LUAR BRITAIN, PHILIP HAMMOND (TENGAH) MENGHADAP RAJA ARAB SAUDI, RAJA SALMAN (KANAN) DI RIYADH PADA 2015. – GAMBAR ARKIB

Ketika banyak publisiti negatif terhadap agama Islam dan umat Islam, lebih-lebih lagi di Barat, tindakan duta Eropah berkenaan memeluk Islam dilihat oleh kebanyakan Muslim di seluruh dunia sebagai pewajaran tarikan universal agama Islam, lapor laman Arab News lagi.

Islam tiba di Britain pada kurun ke-16 daripada pedagang Timur Tengah dan kini dianggarkan lebih 2.7 juta daripada kira-kira 56 juta warga Britain ialah Muslim, dengan sejumlah 1,500 buah masjid berdaftar serta dianggap sebagai agama paling pantas berkembang di Eropah.

Dalam pada itu, media melaporkan Collis turut fasih berbahasa Arab serta menyertai perkhidmatan diplomatik di Pejabat Luar Negara dan Komanwel Britain di London pada 1978. Setelah menguasai bahasa Arab, beliau berkhidmat kebanyakannya di negara-negara Arab.

Bapa kepada lima orang anak itu pertama kali dikerahkan ke Manama, Bahrain sebagai Setiausaha Kedua (1981 -1984). Beliau malahan pernah berkhidmat sebagai Duta Britain di Baghdad, Iraq (2012-2014); Damsyik, Syria (2007-2012) dan Doha, Qatar (2005-2007).

Collis pernah menjadi Konsul Besar Britain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (2000-2004) dan Basra, Iraq (2004-2005). Beliau sebelum itu pernah berkhidmat di New Delhi, India sebagai setiausaha suruhanjaya tinggi Britain (1991-1994).

– Mynewshub

About RJ

Check Also

10 Dalil DAP Anti Islam

Pendakwah bebas, Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah menyenaraikan 10 bukti yang menunjukkan DAP merupakan sebuah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *