Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus tahun ini serta 4.5 peratus pada tahun depan.
Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Rafael Munoz Moreno, berkata pemulihan faktor luaran dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara itu pada tahun ini.
Beliau berkata, permintaan domestik yang kukuh akan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara ini.
“Peningkatan harga komoditi dan pemulihan pertumbuhan ekonomi maju akan menyumbang kepada kemajuan dalam eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengeluaran Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia, Khamis.
Hadir sama, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Faris HadadZervos.
Sementara itu lebihan akaun semasa negara juga dijangka meningkat kepada 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 berbanding 2.0 peratus pada 2016.